Sunday 28 April 2013

#PRU13 Perjalanan Kempen BN Negeri Sembilan Amat Positif


REMBAU - Penerimaan pengundi dan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) di negeri ini selepas melepasi separuh daripada tempoh 15 hari berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) amat positif dan baik.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, maklum balas positif itu diterima dalam program kempen yang dibuat calon BN, jentera parti serta pusat daerah mengundi (PDM) di kawasan masing-masing sejak hari penamaan calon pada 20 April lalu.

''Saya gembira melihat keadaan yang positif ini dan sambutan rakyat terhadap BN begitu tinggi. Kita telah menyusun semua aktiviti kempen dan ia telah dilaksanakan seperti yang dirancang," katanya selepas menutup Konvensyen Combi peringkat negeri di Dewan Merdeka, di sini hari ini.

Yang turut hadir calon BN Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris.

Kata Mohamad, suasana penolakan calon pada hari pengumuman tempoh hari juga telah diselesaikan dengan baik, malah mereka telah kembali bersama-sama membantu kempen calon BN atas dasar mengutamakan parti dan memastikan kemenangan BN pada PRU-13 ini.

Mengenai isu yang dibawa pembangkang, Mohamad berkata, kempen mereka tidak mendapat perhatian pengundi kerana isu yang dibawa sudah lapuk, malah semuanya telah dijawab oleh kerajaan BN sebelum ini.

''Pengundi sudah muak dan bosan dengan isu yang dibawa. Di negeri ini tiada isu besar kerana apa yang dibangkitkan sudah pun diselesaikan," kata Mohamad.

Menjawab soalan berkaitan ideologi pembangkang, Mohamad berkata, jelas tiada kesepakatan dan keberanian dalam ketiga-tiga parti tersebut.

''Mereka bercelaru dan tidak pernah bersatu. Untuk bertanding pun, mereka tidak berani menggunakan satu logo. Kalau betul berani, cubalah letakkan semua logo Pas di Kuala Lumpur atau semua logo DAP di Kelantan," katanya.

Berkaitan slogan pembangkang 'Ubah', Mohamad berkata, jangan diikutkan desakan pembangkang kerana mereka sebenarnya tidak tahu apa yang mahu diubah dan adalah lebih baik, menyokong BN yang jelas telah membawa banyak kebaikan kepada rakyat dan negara ini.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © P131 REMBAU Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger