Saturday 27 April 2013

PRU13 Muhyiddin Solat Jumaat Bersama 3,000 Jemaah Di Seremban


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 3,000 jemaah di Masjid Taman Tuanku Ja'afar dekat sini.

Turut bersama Muhyiddin ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Mohd Ghazali Abd Wahid.



Solat Jumaat itu dipimpinkan Imam Masjid Tuanku Ja'afar Madah Ilong sementara khutbah Jumaat disampaikan oleh anggota Majlis Agama Islam Negeri Sembilan Datuk Sheikh Mohamad Fuad Kamaludin Al-Maliki.

Selesai menunaikan solat, Muhyiddin bersama pemimpin lain menyertai kariah masjid dan jemaah untuk jamuan makan tengah hari yang diadakan di perkarangan masjid itu.

Semasa berucap pada majlis jamuan itu, timbalan perdana menteri berkata rakyat Malaysia perlu sentiasa bersyukur kerana situasi negara yang kekal aman dan perpaduan masyarakat yang semakin erat.

Katanya kerajaan BN hari ini diketuai pimpinan yang mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara maju yang disegani dan dihormati oleh masyarakat dunia.

Ini terbukti dalam tempoh empat tahun di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pelbagai program transformasi diperkenalkan berkaitan ekonomi, politik, sosial dan pendidikan yang telah memberi perubahan besar terhadap negara, kata Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi Barisan Nasional.

"Dalam waktu di mana kita berhadapan dengan pilihan raya yang menentukan nasib masa depan negara untuk tempoh lima tahun yang akan datang, marilah kita berganding bahu bersama-sama mendukung cita-cita kita bersama menerusi pimpinan yang sedia ada.

"Ia bukan sahaja untuk terus memajukan dan membina umat Islam supaya lebih berjaya tetapi mempertahan akidah, mempertahan segala apa yang telah pun kita bina bersama-sama," katanya.

Timbalan perdana menteri berkata sokongan dan dukungan rakyat itu juga amat perlu dalam mengukuhkan kedudukan Islam supaya tidak ada pihak yang boleh mencabar dan membawa idealogi, budaya atau pemikiran yang bertentangan dengan akidah.

Muhyiddin yang dalam rangka lawatan kerja separuh hari di negeri ini berlepas pulang ke ibu negara sejurus selepas majlis itu.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © P131 REMBAU Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger